Pasukan lumba basikal Majlis Sukan Negara (NSC Cycling Team) menguasai acara lebuhraya kategori elit Junior Cycling Malaysia (JCM) Terengganu, selepas dua pelumbanya muncul juara elit lelaki dan wanita pada hari terakhir di Kuala Terengganu, hari ini.

Perlumbaan sejauh 115.3km itu menyaksikan Sofian Nabil Omar mengetepikan cabaran sengit pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zhariff, di tempat kedua.

Mohd Rauf Misbah dari Majlis Sukan Negeri Selangor pula menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Sofian Nabil, 23, pelumba berasal dari Terengganu yang mewakili NSC dari program Kita Juara, menyifatkan kemenangan itu sebagai tonik terbaik bagi merebut tempat dalam skuad berbasikal negara menghadapi Sukan SEA 2017.

“Sesi pemilihan ke Sukan SEA akan memasuki fasa ketiga tidak lama lagi, jadi kejuaraan hari ini adalah salah satu suntikan semangat untuk menjaga prestasi saya.

“Kini persembahan saya masih pada tahap yang terbaik dan kekal konsisten, seterusnya fokus pada latihan sehingga tahun hadapan.

“Selepas mengalami masalah teknikal dalam acara kriterium semalam, ini adalah pencapaian terbaik saya dalam JCM dan lebih manis beraksi di negeri sendiri, jadi momentum ini perlu diteruskan,” tambahnya lagi.

Kategori elit wanita pula dimenangi pelumba skuad pelapis NSC, Nurul Alissa Mohammad Azman, yang mengatasi rakan sepasukan, Nurul Suhada Zainal, di tempat kedua.

Tempat ketiga menjadi milik Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli, juga dari NSC.