NSA kecewa dengan perancangan MSN

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2018 724
NSA kecewa dengan perancangan MSN
Persatuan sukan kebangsaan (NSA) tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap penstrukturan program latihan atlet kebangsaan bagi tahun 2019 yang akan dikelolakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

MSN mengadakan sesi taklimat bersama wakil NSA mengenai hala tuju program latihan sedia ada yang berdepan penstrukturan semula bagi tahun 2019.

Ia bagi mengikuti sistem yang merangkumi empat peringkat berdasarkan kedudukan sukan masing-masing dalam temasya seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia serta lain-lain.

Turut menjadi persoalan ialah peruntukan RM100 juta yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk program persiapan atlet ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Lebih mengecewakan apabila sukan yang tidak berada dalam Sukan Olimpik perlu bersaing bagi mendapatkan sebahagian daripada peruntukan berkenaan.

"Saya berpendapat rakyat umum telah diberikan maklumat yang salah. RM100 juta bukan hanya program Sukan Olimpik tetapi untuk program di bawah MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

"SRAM tidak begitu gembira dan agak terkilan kerana Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak hadir untuk memberikan penjelasan kepada kami," kata Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud.

"Terdapat rungutan dalam kalangan presiden persatuan sukan yang hadir dalam sesi taklimat ini mengenai perbelanjaan yang tidak mencukupi dan ia adalah perkara yang saya bimbangi.

"Mereka perlu menilai semula dan cuba mendapatkan penyelesaian dalam hal ini," kata Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr P. S. Nathan.

"Pada mulanya, jumlah RM100 juta itu hanya untuk program Sukan Olimpik tetapi hari ini ia adalah untuk keseluruhan sukan negara," kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

"Saya mendapatkan perkhabaran mengenai RM100 juta yang diperuntukan adalah untuk seluruh sukan negara dan ia termasuk dengan perbelanjaan MSN dan ISN, kami mampu mengetahui berapakah perbelanjaan yang diberikan kepada sukan badminton," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Susulan kegagalan Program Podium mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast serta Sukan Asia Indonesia, ia berdepan penstrukturan semula oleh MSN bersama-sama program Kita Juara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin, menjelaskan satu bengkel khas akan diadakan untuk memperincikan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan.

Bengkel itu akan dianjurkan selama dua hari pada 13 dan 14 November ini dengan NSA berpeluang untuk mendapatkan perincian lebih lanjut.

Menurut Jefri lagi, hasil daripada bengkel itu akan dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk tindakan seterusnya sebelum memutuskan struktur program yang sesuai buat atlet bermula 2019.

"Banyak persoalan yang ditimbulkan mengenai penelitian program latihan, sama ada mengenai atlet sedia ada akan diserapkan ke dalam program yang telah ditetapkan dan kami meminta persatuan sukan memberikan laporan yang sewajarnya untuk kami melakukan penilaian," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen