"Ia bakal memberi kegembiraan buat barisan atlet negara", itu reaksi Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, susulan pertimbangan yang diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengenai potensi membuka balik sektor sukan selepas 9 Jun ini.

"Kami telah mendengar kerajaan sedang menimbangkan bahawa sektor sukan dan pendidikan akan dibuka semula, ia merupakan sesuatu yang dialu-alukan oleh setiap atlet negara," kata Norza.

Noor Hisham semalam mengeluarkan kenyataan bahawa sektor sukan berpotensi 'dibenarkan' beroperasi semula, sekiranya kadar kes baharu penularan tempatan Covid-19 kekal mencatatkan dua atau satu angka.

Pertimbangan untuk memberikan lebih banyak kelonggaran itu dapat dibuat memandangkan penularan jangkitan dalam kalangan penduduk tempatan dapat dikawal setakat ini.

Kini, MOM telah pun memulakan rancangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk garis panduan yang sepatutnya jika benar sektor sukan kembali beroperasi.

"MOM sedang membantu pihak KBS menulis kepada ahli gabungan penuh dan bersekutu untuk mendapatkan maklum balas mengenai sektor sukan yang bakal dibuka semula, mereka perlu bersedia dengan langkah keselamatan yang bersesuaian dengan tetapan MKN."