Mengambil iktibar daripada kes doping dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa kempen kesedaran terhadap isu bahan terlarang turut diperluaskan terhadap atlet di peringkat negeri dan IPT.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, tidak menafikan kefahaman atlet di peringkat bawahan masih terlalu rendah dan mengambil remeh terhadap penggunaan bahan terlarang di dalam sukan.

Justeru, empat kes doping melibatkan atlet Sukma 2016, dan dua bagi SUKIPT, menjadi gambaran tiada penerangan menyeluruh diberikan oleh persatuan sukan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Norza berharap semua pihak mengambil pengajaran agar kes seumpamanya tidak berulang pada temasya akan datang.

"Peranan itu perlu diambil oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan Kementerian Pendidikan dalam menentukan bahawa mereka yang masih lagi di IPT dan sekolah-sekolah, mesti diberikan pendedahan terhadap isu doping tersebut," ujar Norza.

Mengenai sukan bina badan yang mahu mengemukakan rayuan, Norza menegaskan segala-galanya sudah terlambat kerana keputusan sukan yang dipertandingkan perlu dimuktamadkan 12 bulan sebelum mana-mana Sukan SEA berlangsung.

"Sebanyak 38 sukan yang diumumkan adalah muktamad kerana mesyuarat Persekutuan Sukan SEA telah memutuskan bahawa sukan-sukan tersebut akan dipertandingkan pada tahun hadapan.

"Ia juga bertentangan dengan piagam yang telah ditetapkan. Saya rasa bahawa niat itu baik dan mendapat sokongan tetapi semuanya sudah terlambat."