"Itu yang saya tunggu."

Itu luahan atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin, mengenai perkhabaran perancangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk melantik jurulatih bagi sukan itu.

Selepas memenangi pingat perak dalam Sukan SEA Filipina, dia dimaklumkan dengan perkhabaran positif apabila KOM menyatakan hasrat untuk mendapatkan jurulatih bagi sukan heptatlon, jarak jauh dan jarak sederhana.

"Apabila dimaklumkan dengan berita ini, saya sangat gembira. Memang saya tunggu jurulatih yang boleh membimbing saya dalam heptatlon," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

"Sebenarnya, memang sukar apabila bergelar atlet heptatlon. Saya berdepan kekangan masa dan kelengkapan sambil meminta bantuan beberapa jurulatih. Komitmen jurulatih kadangkala bercanggah, menyebabkan masa agak banyak terbuang."

Ikuti perkembangan lanjut dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11.00 malam ini.