Kapten skuad bola jaring Kuala Lumpur, Nordiyanah Noorsabadinee, berharap kejayaan membantu pasukannya menjuarai Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan hujung minggu lalu dapat
melonjakkan dirinya semula ke dalam senarai skuad kebangsaan.


Hasrat Nordiyanah itu disuarakan selepas dia tidak tersenarai dalam skuad yang menjuarai pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura akan menjadi tumpuan buat skuad bola jaring negara dan itu sasaran utama buat Nordiyanah untuk merebut tempat.

Nordiyanah mempamerkan persembahan terpuji dalam membantu Kuala Lumpur menjuarai kejohanan kebangsaan selepas menewaskan Johor dalam aksi final.

"Kejohanan ini menjadi sesi kelayakan pemain-pemain untuk dipilih beraksi di Singapura dan saya berharap dapat mewakili negara bagi kejohanan pada tahun depan," katanya.

"Jika terdapat pemain-pemain senior yang tidak beraksi, peluang saya lebih cerah untuk mewakili negara."

Turut membantu kejayaan Kuala Lumpur ialah pemain mudanya, Nur Amisya Khairuddin.

Persembahan konsisten yang dipamerkan menyaksikan dia dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

"Secara peribadi, saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya tetapi saya yakin pasukan kami berupaya mengekalkan momentum untuk menjadi juara dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan," kata Nur Amisya.