Berpuasa di luar negara merupakan salah satu perkara yang tidak dapat dielakkan apabila bergelar atlet, termasuk bekas wira kebangsaan, Noraseela Mohd Khalid.

Bekas atlet yang kini berusia 38 tahun itu berkongsi kisah dirinya menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan ketika di Regensburg, Jerman, 12 tahun lalu.

"Saya melalui pengalaman berpuasa di luar negara pada 2006 sewaktu menjalani persediaan untuk Sukan Asia. Saya berlatih di Jerman dan berpeluang menikmati rasa berpuasa dari jam 4 pagi sehingga 5 petang. Ketika itu musim musim sejuk, jadi ia lebih mudah.

"Sambutan hari raya sering saya raikan di Malaysia. Namun, pernah sekali menikmatinya di luar negara, iaitu merayakan Aidiladha di Afrika Selatan," ujar Noraseela.

Dalam masa sama, Noraseela turut mengakui dia kini kurang menyediakan persiapan untuk menyambut Aidilfitri berbanding sebelum ini.

Baginya, cukup untuk meraikan secara sederhana dan menggunakan semula pakaian-pakaian sebelum ini kerana ia masih elok.

"Kini, saya lebih banyak menggunakan semula pakaian-pakaian lama berbanding pada waktu dulu, di mana saya sering membeli baju baru setiap kali menyambut hari raya.

"Saya hanya menyesuaikan apa yang ada dengan pakaian yang dimiliki," tambahnya.