Nixson kekal tumpuan dalam acara 100m

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2017 586
Nixson kekal tumpuan dalam acara 100m
Pelari pecut negara, Nixson Kennedy, menegaskan akan terus memberi tumpuan kepada acara 100 meter biarpun beberapa rakan sepelatih sudah mula mencuba beberapa acara baru untuk musim 2018.

Antara rakan sepelatih dalam kem olahraga kebangsaan yang mencuba acara baru ialah Jonathan Nyepa bagi acara 110 meter lari berpagar, dan G. Aravin Thevar untuk acara lari 400 meter.

Bagi Nixson, dia mahu kekal dengan pendiriannya dan terus memberikan tumpuan dalam acara pecut 100m.

Tambahan tahun ini, dia berjaya mempamer aksi memberangsangkan, dengan memecahkan rekod kebangsan 4x100m dengan catatan 39.27 saat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu selain turut memecahkan rekod peribadi 10.43s dalam Terbuka Korea Selatan.

“Saingan bagi tahun 2017 sudah berakhir. Saya berpuas hati kerana berjaya melakukan catatan baru dalam acara saya,” katanya.

Untuk tahun 2018, Nixson juga berharap agar tidak lagi dipalit insiden catatan masa tidak diiktiraf seperti mana dilaluinya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang, April lalu.

Nixson mencatatkan masa 10.27s dalam perlumbaan akhir, namun masalah teknikal daripada pihak penganjur merujuk kepada bacaan di papan eletronik dan video tidak selari menyebabkan catatan itu tidak diktiraf.

“Bagi pihak penganjur, perkara teknikal ini tidak seharusnya berlaku kerana kami telah berusaha dengan baik dan latihan yang keras dilalui setiap hari untuk mendapatkan catatan yang terbaik,” ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen