Jurulatih lari berpagar negara, Ithnin Mahadi, akan terus membimbing pakar acara lari berganti-ganti, Nixson Kennedy. Keputusan itu berbeza dengan tindakan penghijrahan beramai-ramai jaguh pecut untuk mendapat sentuhan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia, Dwayne Miller.

"Nixson seorang atlet yang telah saya latih daripada peringkat awal lagi. Saya berasakan dia selesa di bawah bimbingan saya," kata Ithnin.

"Saya tidak kisah untuk terus melatihnya dan jika mahu berlatih bersama Miller, saya juga tidak menghalangnya."

Nixson membarisi kuartet 4x100 meter negara sejak Sukan SEA Singapura 2015 sekaligus menjadikan dirinya sebagai antara empat pelari pecut terbaik di Malaysia.

Adakah tindakan itu akan menjejaskan peluangnya mewakili negara pada masa depan?

"Saya lebih yakin berlatih di bawah bimbingan Ithnin kerana dia mengenali kekurangan serta kelebihan saya," kata Nixson.

Sementara itu, Miller menyerahkan urusan perpindahan atlet kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Malah, beliau tidak memaksa mana-mana atlet mengikut program latihannya kerana ia proses jangka masa panjang.

Jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menuai hasil termasuk daripada Khairul Hafiz Jantan atau Mohd Haiqal Hanafi.

"Ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun untuk mengenali kemampuan barisan atlet negara. Proses yang panjang ditambah dengan komunikasi antara atlet dan jurulatih adalah perkara yang penting dalam memastikan sasaran dapat dicapai," kata Miller.