Atlet remaja kebangsaan, Nilcy Tinik, memperbaharui rekod kejohanan buat kali keempat dalam Sirkit Akhir Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2019 di Kota Kinabalu semalam.

Nilcy, 18, yang berasal dari Tambunan, bertanding dalam kategori 49kg dan dia melakukan 60kg angkatan snatch dan 83kg dalam angkatan clean & jerk, kedua-duanya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri.

Kedua-dua angkatan yang dilakukannya itu satu kilogram lebih berat berbanding rekod lama (snatch 59kg dan clean & jerk 82kg).

Selain itu, jumlah angkatan keseluruhan, 243kg juga adalah rekod baru untuknya memadamkan rekod lama 139kg.

"Saya memang menyasarkan untuk memecahkan rekod kejohanan di sini dan saya sangat gembira kerana berjaya mencapainya.

"Ini kali keempat saya memecahkan rekod tahun ini dalam kategori berat badan baru, 49kg.

"Kali pertama di Sarawak, kemudian di Indonesia dan seterusnya di Johor pada September lalu.

"Saya melakukannya buat kali keempat di negeri sendiri dan ia menjadikan kemenangan ini lebih bermakna," katanya ketika ditemui.

Angkatannya itu juga memberikannya dua pingat emas, iaitu bagi kategori remaja dan senior.

Kejohanan berkenaan hanya menawarkan pingat emas untuk jumlah angkatan keseluruhan.

Nilcy menewaskan pencabar tunggalnya yang juga rakan senegeri, Jesslina Ann Minsos, yang hanya melakukan 42kg dalam angkatan snatch manakala gagal melakukan sebarang angkatan dalam clean & jerk.

Nilcy adalah anak didik kepada jurulatih Sabah, Stephen Gampion, yang juga bapa saudaranya.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu juga adalah penyumbang pingat emas untuk Sabah dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 menerusi kategori lama, iaitu 48kg.