"Nilainya tidak seberapa, namun tetap bermakna", atlet lompat bergalah, Iskandar Alwi, menganggap wang ganjaran RM1000 oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebagai tanda penghargaan badan induk itu untuk setiap titik peluhnya yang mengerah keringat di balapan.

Iskandar adalah antara enam orang atlet olahraga negara yang akan mendapat insentif sebanyak RM1000 ekoran kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan.

Anak jati johor itu turut mendedahkan hampir terlupa tentang insentif KOM memandangkan ia sudah dua tahun berlalu.

Iskandar memperbaharui catatan peribadinya, 5.31 meter ketika Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan pada 2018.

Setakat ini, tiada perancangan daripada Iskandar untuk wang ganjarannya itu.

Bagaimanapun ia melonjakkan semangat Iskandar yang sudah beberapa kali memecahkan rekod kebangsaan sejak 2013.

"Sudah tentu, sukan olahraga bukan berasaskan wang hadiah, lebih kepada meraih pingat. Insentif yang diberikan kerana memecahkan rekod boleh dianggap sebagai pembakar semangat buat kami," kata Iskandar.