Itu merupakan kesan yang terpaksa diterima bekas penolong jurulatih Melaka, Nidzam Adzhar Yusof , ekoran dakwaan kegagalan pihak Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) menyelesaikan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbul kekeliruan apabila Pemotongan Cukai Berjadual (PCB) sebanyak RM2967.95 untuk LHDN tertera dalam slip gaji yang diterima setiap bulan.

Namun hakikatnya tiada pembayaran dibuat oleh pihak MUSA sejak Disember 2018 membawa kepada situasi sukar buat Nidzam.

Nama bekas pemain kebangsaan itu telah disenarai hitam dan tidak dibenarkan ke luar negara selagi pembayaran tertunggak tidak dibuat.

"Saya telah disekat oleh LHDN untuk keluar negara sementara apabila melibatkan KWSP, saya agak terkilan kerana ia merupakan wang saya dan majikan perlu segera menyelesaikan masalah ini," kata Nidzam.

Selain daripada LHDN, MUSA juga gagal menyelesaikan Pembayaran Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang tertunggak selama 10 bulan.

Ia menelan jumlah keseluruhan lebih RM40,000 dan Nidzam sendiri membuat tuntutan pembayaran segera pihak MUSA sebelum perkara ini dilanjutkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Awal bulan Ogos, saya telah menerima surat daripada pihak MUSA mengenai penyelesaian yang perlu ditangani jika saya bersetuju. Surat itu menyatakan segala tunggakan akan diselesaikan November ini namun saya berharap ia dapat diselesaikan seawal bulan ini."

Astro Arena berjaya mendapatkan Setiausaha Agung MUSA, Asri Ninggal, tetapi dia enggan membuat sebarang komen kerana perlu membuat rujukan kepada pihak kewangan MUSA terlebih dahulu.