Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, terpaksa mengundur diri daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2016 apabila tewas kepada pemain Mesir, Raneem El Welily, dalam suku akhir di Philadelphia, hari ini.

Nicol -- pemain nombor tiga dunia dan juara tiga kali kejohanan -- berhempas-pulas hampir satu jam sebelum tunduk kepada pemain pilihan kelima kejohanan itu, 11-8, 8-11, 10-12, 9-11.

Menurut laman web kejohanan www.usopensquash.com, El Welily akan beraksi di separuh akhir menentang rakan senegara, Nour El Sherbini, yang mengalahkan pemain England, Alison Waters, 11-7, 11-2, 11-6 dalam masa 26 minit.

Nicol, 33, gagal mempamerkan kebangkitan seperti yang ditunjukkan ketika menentang naib juara tahun lalu, Nour El Tayeb, kelmarin.

Dalam aksi pusingan kedua itu, Nicol menafikan kemenangan dua set pertama El Tayeb dengan 4-11, 9-11, 11-4, 11-6, 11-7.

Nicol pernah menikmati tiga gelaran berturut-turut kejohanan itu bermula pada 2012, sebelum dirampas pemain England, Laura Massaro, tahun lalu.