Hasrat ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, untuk menambah koleksi kejuaraan pada tahun ini tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain England, Sarah Jane Perry, dalam aksi final Kejohanan Skuasy Terbuka Net-Suite di San Francisco, Amerika Syarikat.

Rekod tiga pertemuan berdepan Sarah sebelum ini tidak memihak kepada Nicol apabila tewas dalam kesemua aksi, sekaligus membuatkan pemain nombor satu negara itu bertekad untuk memadam rekod buruk itu apabila sekali lagi bertemu di Amerika Syarikat.

Kejuaraan dilihat mampu menjadi milik Nicol apabila berjaya mendahului dua set pertama hasil kemenangan 11-8, 11-8.

Namun, jangkaan itu meleset apabila Sarah mempamerkan kebangkitan menakjubkan dalam tiga set berikutnya sehingga menyebabkan Nicol terpaksa akur dengan kehebatannya, selepas tewas 7-11, 12-14 dan 7-11 dalam perlawanan yang mengambil masa selama 74 minit itu.

Kekalahan itu bermaksud Nicol hanya berjaya meraih satu kejuaraan musim ini, iaitu ketika mengungguli Kejohanan Terbuka Ciudad de Floridablanca, Mac lalu.