Jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David, bermula langkah kanan apabila mudah menundukkan pemain dari Kanada, Samantha Cornett, menerusi aksi straight set dalam Kejohanan Juara Antara Juara di New York, Amerika Syarikat.

Nicol, yang menduduki ranking keenam dunia, kini dalam usaha untuk memperbaiki persembahan selepas melalui musim yang sukar pada 2017 apabila hanya berjaya menakluk Kejohanan Ciudad De Florida Blanca pada Mac lalu.

Bagaimanapun, turun menentang Cornett yang turut menewaskan seorang lagi pemain kebangsaan, Low Wee Nee, dalam aksi sebelum itu, ternyata status juara dunia lapan kali membuatkan Nicol tidak perlu mengerah kudrat apabila mengawal gelanggang dengan baik sehingga menyebabkan pemain nombor 26 dunia itu terpaksa berkejar ke segenap penjuru.

Aksi yang konsisten sejak daripada awal permainan membolehkan Nicol mencatat kemenangan 11-7, 11-3, 11-4 dalam masa 27 minit, sekali gus mengesahkan tempat dalam pusingan kedua.

“Aksi yang baik untuk mengatasi Samantha Cornett dalam perlawanan pembukaan di TOCSquash dan saya akan menentang Joelle King dalam pusingan kedua petang esok,” kata Nicol menerusi Twitter.