Untuk dua hari yang istimewa, Datuk Nicol David akan kembali mengerah keringat di gelanggang kaca menerusi satu perlawanan pertunjukan khas di Bukit Jalil.

Sejak menggantung raket Mei lalu, bekas atlet kelahiran Pulau Pinang berkenaan giat mempromosikan skuasy di serata dunia menerusi program 'The Dream Remains'.

Di bawah inisiatif itu, Nicol akan menganjurkan satu pertunjukan selama dua hari di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, bermula esok yang turut menampilkan pemain tersohor dunia, termasuk pemain wanita utama negara, Low Wee Wern.

"Impian saya menerusi program The Dream Remains adalah untuk mengadakan acara di negara sendiri.

"Saya mahu mengadakan satu acara besar dan ia salah satu impian yang ingin saya penuhi bagi menjadikan skuasy sebagai sukan utama pada masa depan.

"Saya juga mahu menarik semula minat pemain handalan dunia supaya menyertai kejohanan di sini.

"Jadi, saya fikir mengapa saya tidak memulakannya melalui satu perlawanan pertunjukan," kata Nicol.

Sementara itu, Wee Wern berasa cukup bertuah untuk menjadi sebahagian daripada acara penting seperti itu.

"Saya bukan sahaja boleh mencurahkan bakti kepada skuasy, bahkan golongan remaja juga.

"Sudah lama majlis besar seperti ini tidak diadakan di Malaysia, jadi saya harap ia boleh menawarkan publisiti kepada skuasy dan kami dapat kembali menganjurkan Terbuka Malaysia pada masa akan datang," katanya.