Datuk Nicol David dan Mohd Nafiizwan Adnan masing-masing mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Kelab Kriket Philadephia, hari ini.

Ratu skuasy negara yang juga juara tiga kali kejohanan itu mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan pemain Denmark, Line Hansen, 11-3, 11-6, 11-6.

Menurut laman web rasmi kejohanan www.usopensquash.com, Nicol akan berdepan pilihan utama, Nour El Sherbini, pada awal pagi esok.

Pemain dari Mesir itu mengesahkan kemaraannya selepas menang selesa ke atas Misaki Kobayashi dari Jepun, 13-11, 11-9, 11-2.

Seorang lagi pemain wanita negara, Delia Arnold, akan membuka cabarannya menentang Camille Serme dari Perancis lewat hari ini.

Sementara, pemain utama lelaki negara, Mohd Nafiizwan, menewaskan pemain Colombia, Miguel Rodriguez, 11-9, 11-8, 11-9.

Dia akan bertemu pemenang perlawanan di antara pemain Afrika Selatan, Stephen Coppinger dan Alan Clyne dari Scotland.