Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, bangkit daripada kekalahan dua set sebelum menewaskan naib juara tahun lalu, Nour El Tayeb, dalam pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2016 di Kelab Kriket Philadephia, hari ini.

Nicol, 33, juara tiga kali kejohanan, terpaksa mengambil masa 53 minit untuk menyingkirkan pemain Mesir itu, 4-11, 9-11, 11-4, 11-6 dan 11-7.

Menantinya dalam suku akhir esok ialah seorang lagi pemain Mesir yang juga pilihan kelima kejohanan, Raneem El Weleily.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Mohd Nafiizwan Adnan tewas kepada pemain Afrika Selatan, Stephen Coppinger.

Nafiizwan yang melepaskan diri daripada pusingan kelayakan, tewas kepada pemain ranking ke-24 dunia itu 7-11, 11-5, 11-9, 4-11, 9-11.

Dalam pertemuan suku akhir, Coppinger akan berdepan wakil dari England, James Willstrop, yang menewaskan pemain Mesir, Mohamed Abouelghar 9-11, 11-9, 11-6, 5-11 dan 11-7.