Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, mahu memanfaatkan peluang beraksi dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong yang bermula hari ini sebagai pemangkin terbaik untuk menghadapi misi pentingnya, iaitu Kejohanan Dunia di Manchester, bulan depan.

Nicol, selaku juara dunia lapan kali, kini memburu penamat musim yang gemilang pada tahun ini dan sememangnya menjadi harapan besar buatnya untuk memenangi Kejohanan Dunia setelah kempunan kejuaraan pada edisi 2016.

Dia tersungkur dalam suku akhir selepas tewas kepada pemain Mesir, Nouran Gohar, dalam kejohanan yang diadakan di Mesir, April lalu.

Namun, Nicol enggan meletakkan tekanan terhadap dirinya, sekaligus mahu memberikan tumpuan terhadap Terbuka Hong Kong dahulu.

“Saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Terbuka Hong Kong terlebih dahulu.

“Kejohanan ini penting untuk memberikan suntikan semangat buat saya bagi menghadapi Kejohanan Dunia pada Disember,” katanya.

Nicol, selaku pilihan kelima, akan memulakan saingan di Hong Kong menentang pemenang perlawanan kelayakan dalam pusingan pertama.