Nicol gembira bangkitkan aura di Bukit Jalil 

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2019 111
Nicol gembira bangkitkan aura di Bukit Jalil 
Datuk Nicol David mencetuskan sensasi apabila kembali ke gelanggang kaca walaupun hanya untuk aksi satu set apabila menentang pemain muda negara, Noor Aina Ampandi.

Walaupun masih menunjukkan kewibawaannya sebagai legenda, pertarungan 'The Dream Remains' di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu bukanlah bersandarkan keputusan, sebaliknya menyemarakkan keyakinan bakat muda untuk menjadi bintang Malaysia pada satu hari kelak. 

"Saya sekali lagi berpeluang untuk beraksi di depan penyokong Malaysia yang sering memberikan sokongan sepanjang karier saya. 

"Berdepan pemain muda seperti Ainaa, ia satu pengalaman yang manis kerana saya jarang berpeluang untuk berada satu gelanggang dengan mereka.

"Kini saya lebih kerap pulang ke Malaysia untuk berpeluang beraksi dalam perlawanan seperti ini.

"Selain itu, seronok melihat mereka beraksi di tahap ini," katanya. 

Kemenangan memihak kepada Nicol tetapi kejayaan sebenar acara itu adalah sokongan terhadap program pasca persaraannya itu. 

Dalam pada itu, pemain wanita nombor satu England, Sarah Jane Perry, mengidam untuk memenangi gelaran perlawanan pertunjukan The Dream Remains berkenaan bagi membantu meningkatkan kesedaran kepada inisiatif Nicol itu. 

Dalam aksi separuh akhir, Perry menewaskan Tinne Gillis  9-11, 11-3, 11-8 untuk melangkah ke final esok. 

"Saya langsung tidak meminta sebarang perincian sebelum menyatakan persetujuan. 

"Nicol bukan sahaja seorang pesaing yang menggerunkan dan mempunyai babak pertarungan yang akan dikenang, termasuklah atas apa yang dilakukannya buat sukan ini. 

"Dia juga seorang kawan dan sebaik sahaja diberitahu mengenai acara ini, saya pantas bersetuju," kata Perry. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen