Prestasi merosot sepanjang tahun 2016 tidak mematahkan semangat ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, untuk memberi peluang kepada dirinya meneruskan karier tahun depan.

Di saat ramai yang memperkatakan sudah tiba masanya Nicol berundur diri selepas berdepan kekalahan demi kekalahan, juara dunia lapan kali itu enggan mengalah dengan begitu sahaja.

Tegasnya, perjuangan akan tetap diteruskan selagi dirinya masih mampu dan menganggap perjalanan karier yang cukup pahit tahun ini sebagai proses pembelajaran untuknya, selain positif mampu menggenggam semula gelaran juara pada 2017.

"Ia sentiasa memerlukan masa untuk saya menyesuaikan diri dan menjulang saya ke peringkat seterusnya.

"Saya tidak sabar untuk menghadapi saingan tahun depan.

"Sudah semestinya saya akan beraksi dalam tempoh beberapa tahun lagi kerana skuasy adalah keghairahan saya," ujarnya ketika ditemui di Karnival Sukan 2016 di Petaling Jaya hari ini.

Tambah Nicol, kecederaan hamstring yang dialaminya baru-baru ini tidak serius dan kini mahu memanfaatkan cuti yang ada sempena Hari Natal sebelum kembali ke Amsterdam, Belanda, bagi persiapan menghadapi Kejohanan Juara Antara Juara di New York, Januari depan.

"Saya mahu memperbaiki corak permainan saya dan secara peribadinya ingin memajukan diri sendiri.

"Saya mahu menampilkan aksi lebih konsisten, selepas itu sudah tentu kejayaan akan hadir sebaik sahaja saya mendapat rentak konsisten yang saya mahukan."