Nazifuddin perjuangkan kriket ke Sukan SEA Filipina 

Oleh Staff Writer 17 Oktober 2018 148
Nazifuddin perjuangkan kriket ke Sukan SEA Filipina 
Kriket antara tiga acara diperjuangkan Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, untuk tersenarai dalam Sukan SEA Filipina tahun depan menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Pertandingan Persekutuan Sukan SEA, hujung bulan ini.

Sukan kriket yang sedang berhadapan risiko kehilangan tapak Kinrara Oval mempunyai satu lagi perjuangan.

Mereka mahu ia dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina, tahun depan selepas menyumbang satu emas, satu perak dan satu gangsa ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dua lagi sukan yang turut diperjuangkannya adalah ski air dan bola jaring.

"Kami mengikuti rayuan daripada persatuan sukan kebangsaan. Persatuan-persatuan ini sememangnya mahu sukan-sukan itu dipertandingkan untuk mencungkil bakat dan perkembangan akar umbi mereka.

"Kami akan mengadakan perjumpaan dalam mesyuarat jawatankuasa sukan dan pertandingan dan kami akan membawa rayuan ini ke sana.

"Dari situ, kami akan melihat sejauh mana peluang untuk sukan-sukan ini dipertandingkan di Filipina," kata Nazifuddin.

Setakat ini, 56 jenis sukan sudah diluluskan.

Jumlah itu dilihat terlalu banyak memandangkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hanya mempertandingkan 38 jenis sukan.

Namun, jumlah itu dijangka menurun selepas tamat mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA, bulan depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen