Nazifuddin bimbang nasib atlet luncur ais

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2018 131
Nazifuddin bimbang nasib atlet luncur ais
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, bimbang dengan nasib atlet luncur ais negara sepanjang tahun depan apabila pendaftaran badan induk sukan itu dibatalkan.

Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) menerima tamparan apabila Pesuruhjaya Sukan (PJS) membatalkan pendaftaran mereka.

Surat bertarikh 18 Mei lalu mengesahkan pendaftaran ISAM dibatalkan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997.

Situasi itu bermakna atlet luncur dan hoki ais negara tidak boleh menyertai sebarang kejohanan di dalam atau luar negara sehingga isu itu selesai.

"Kami akan berkerjasama dengan PJS untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dalaman ISAM. Bagi atlet, kami akan menilai secara menyeluruh bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk dibawa menyertai saingan Sukan SEA tahun depan," kata Nazifuddin.

Luncur ais adalah antara 56 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina tahun depan.

Sementara itu, ISAM mendakwa mereka dianiaya dan akan mengheret isu itu ke pihak berkuasa.

"Buat masa ini, saya tidak dimaklumkan secara rasmi dan tidak dihubungi lagi. Kami akan mengambil tindakan selanjutnya kerana kami tidak diberikan peluang untuk membela hak kami," kata Presiden ISAM, Fadzil Johan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen