Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, bimbang dengan tindakan Filipina selaku tuan rumah Sukan SEA 2019 yang mencadangkan terlalu banyak jenis sukan, termasuk hoki dalam air, vovinam dan arnis.

Filipina bakal mencatat rekod baru jika Persekutuan Sukan SEA (SGF) meluluskan 56 jenis sukan untuk temasya itu, tahun depan.

Ia bakal mengatasi temasya 2011 di Indonesia yang menganjurkan 44 jenis sukan.

Apa yang membimbangkan, wujud beberapa sukan yang asing seperti hoki dalam air dan sukan tarian, sekali gus menyukarkan usaha Malaysia mempertahankan gelaran juara keseluruhan.

"Persatuan sememangnya akan mencari dana sendiri, namun tanpa kejayaan yang besar di peringkat antarabangsa, agak sukar untuk mencari penajaan.

"Kami mengharapkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan kerajaan dapat memberikan sokongan untuk meneruskan program-program seperti yang diperbincangkan sebelum ini," kata Nazifuddin.

Apa yang melegakan Malaysia adalah bola jaring berjaya tersenarai, namun kriket dan luncur air masih dipertimbangkan.

SGF akan mengadakan mesyuarat majlis di Filipina, 28 November ini, untuk memilih senarai akhir sukan yang akan dipertandingkan.