Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh berhasrat mendapatkan sentuhan jurulatih kebangsaan, Alexander Gasparyan, yang membantu Lee Hup Wei, mencipta rekod atlet olahraga pertama Malaysia layak ke final Kejohanan Dunia 2019.

Kejayaan Hup Wei meraih tangga kelapan Kejohanan Dunia 2019 di Doha, Qatar, minggu lalu membuka mata Nauraj mengenai pentingnya kehadiran jurulatih.

Nauraj mendapat sentuhan jurulatih kelahiran Australia, Alex Stewart, sejak 2015 hingga memecah rekod kebangsaan, 2.30 meter, dua tahun lalu.

Mereka lebih banyak berhubung menerusi emel hingga Nauraj berasakan sudah tiba masa dia memerlukan kehadiran jurulatih di sisinya.

"Ia merupakan kelebihan berlatih bersama jurulatih. Saya sedang memikirkan situasi yang perlu ditempuhi ketika ini apabila hanya berlatih di dalam negara sementara jurulatih saya di Australia," kata Nauraj.

Jika segalanya berjalan lancar, dia dijangka menyertai kem latihan Hup Wei, Sabtu ini.

Persaingan melepasi had kelayakan 2.33m ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga kian sengit dengan prestasi Hup Wei.

"Lompat tinggi adalah sukan individu. Saya dan Hup Wei adalah sahabat dan kami bersaing untuk melakukan yang terbaik."