Nauraj cerahkan peluang raih pingat di Gold Coast

Oleh Penulis Jemputan 17 November 2017 1350
Nauraj cerahkan peluang raih pingat di Gold Coast
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, mencerahkan peluang untuk merangkul pingat Sukan Komanwel Gold Coast 2018 apabila menghuni ranking kelapan temasya sebelum berangkat ke Australia, esok untuk kem latihan pusat selama enam bulan.

Nauraj akan menghabiskan tempoh latihan paling lama di luar negara.

Ia sebagai strategi untuk mencipta kejayaan merangkul pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan kerana berbekalkan catatan peribadi terbaik, 2.30 meter, dan dilihat sebagi prospek negara untuk meraih pingat.

Justeru, atlet kelahiran Johor ini merancang program latihan paling lama di luar negara sepanjang kariernya.

“Saya membuat persiapan di Australia dan setiap minggu terdapat kejohanan sebagai persiapan ke Sukan Komanwel,” katanya.

Setakat ini, Malaysia belum pernah meraih pingat dalam acara lompat tinggi lelaki Sukan Komanwel.

Apa yang menarik, tempoh latihan jangka panjang ini membuka peluang untuk Nauraj menguji venue temasya.

"Venue Sukan Komanwel akan menganjurkan Kejohanan Kebangsaan Australia dan atlet antarabangsa tidak dapat bertanding di sana. Bagaimanapun, saya akan mengambil pengalaman di stadium tersebut untuk membiasakan diri,” tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen