Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, sanggup menangguhkan pengajiannya untuk berguru selama enam bulan bersama jurulatihnya, Alex Stuart, di Australia bermula 11 November depan bagi menghadiahkan pingat Sukan Komanwel Gold Coast 2018 buat negara.

Nauraj mempunyai perancangan khas untuk muncul sebagai atlet lompat tinggi pertama negara yang meraih pingat Sukan Komanwel.

Dia sudah mendapat lampu hijau untuk menghabiskan tempoh yang lama berlatih di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia itu.

Had kelayakan temasya adalah 2.28 meter dan pencapaian terbaik yang dilakukan Nauraj musim ini adalah 2.30m ketika dia menjuarai Terbuka Singapura, April lalu.

"Saya mahu berlatih dalam kem latihan pusat dan konsisten dalam latihan. Adalah lebih baik saya sentiasa dipantau dan terus mendapat tunjuk ajar berbanding saya pulang dan berlatih sendirian," kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu.

Dalam temasya Glasgow 2014, atlet Kanada, Derek Drouin, meraih emas menerusi catatan 2.31m manakala pemenang gangsa cuma 2.25m.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mencalonkan 17 atlet untuk menyertai program Sukan Komanwel yang dijangka bermula bulan depan.

"Saya berpeluang untuk menaiki podium dalam Sukan Komanwel berdasarkan catatan temasya yang lalu.

"Tidak banyak perbezaan di antara saya dan pesaing-pesaing yang lain," kata Nauraj lagi.