Pemain boling tenpin negara, Natasha Roslan, bertekad untuk menghadiahkan pingat emas sekiranya terpilih untuk mewakili negara dalam edisi yang akan datang selepas terkandas dalam separuh akhir Piala Dunia di Palembang, Indonesia semalam.

Edisi tahun ini menyaksikan skuad wanita negara meneruskan kemarau pingat emas sepanjang sejarah kejohanan itu apabila Natasha tewas kepada jaguh Australia, Rebecca Whiting, 199-176 dalam separuh akhir.

Bagaimanapun, semangatnya tidak pudar untuk meneruskan impian itu seandainya terpilih untuk mewakili negara dalam edisi yang akan datang.

"Skuad wanita Malaysia tidak pernah menang lagi, jadi saya memang berharap untuk membawa pulang pingat emas dalam penampilan pertama.

"Tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat menamatkannya di tempat ketiga.

"Harap-harap saya dapat memperbaiki kedudukan itu dalam edisi yang seterusnya," katanya ketika ditemui setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini.

Dalam masa sama, Natasya menganggap kegagalan dalam penampilan pertamanya di Palembeng itu memberikan pengalaman yang amat bernilai.

"Saya dapat belajar untuk menguatkan mental dan pada masa sama fokus untuk mengekalkan ketekalan.

"Kalau saya tidak tekal sejak hari pertama, saya tidak dapat berada dalam kelompok empat teratas kerana di peringkat itu, setiap peserta boleh mengejar (kedudukan)," tambahnya.