Ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir, berharap kepentingan sukan yang tiada dalam senarai Olimpik tidak diketepikan memandangkan setiap kejohanan yang disertai atlet kebangsaan masih membawa objektif sama untuk mengharumkan nama negara.

Bayangan nasib sukan yang tidak berada dalam senarai Sukan Olimpik, tampak sudah boleh dibaca Nasri.

Beliau akur dengan situasi yang berlaku, namun pengendali itu tetap mengharapkan kepentingan sukan silat tidak diketepikan sepenuhnya.

Walaupun silat tidak berada dalam senarai Sukan Olimpik, setiap misi yang dibawa atlet negara dalam mana-mana kejohanan peringkat dunia masih dengan objektif yang sama.

"Telah ditetapkan di mana kami tidak lagi berada di bawah Program Podium. Saya rasa latihan mungkin akan dijalankan seperti biasa, cuma diharapkan selepas ini program itu akan berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan sebagainya.

"Jadi, saya harap program-program latihan yang telah dirancang diberi perhatian oleh MSN dan Institut Sukan Negara (ISN)," kata Nasri.

Status Program Podium hanya akan diputuskan penghujung bulan ini tetapi situasi daripada awal sudah cukup untuk memberi gambaran nasib majoriti atlet program itu selepas ini.

"Kami perlu memikirkan bukan sahaja daripada segi sumbangan mereka buat negara tetapi termasuk kebajikan. Sudah tentu ia akan mengganggu atlet untuk fokus kepada latihan jika ada kekangan kewangan yang tidak dapat dielakkan," tambahnya.