Nasiruddin jamin isu penggantungan Zamri diselesaikan segera

Oleh Staff Writer 26 Oktober 2016 3
Nasiruddin jamin isu penggantungan Zamri diselesaikan segera
Ketua Pegawai Operasi (COO), Terengganu Cycling Team (TSG), Nasiruddin Wan Idrus, memberi jaminan isu penggantungan pelumba, Zamri Salleh, selama tiga bulan oleh Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan diselesaikan segera.

Pihak TSG telah menghubungi PKBM pada Ahad lalu bagi membincangkan isu penggantungan Zamri ekoran kecaman pelumba itu terhadap persatuan menerusi media sosial berhubung wang kemenangan Jelajah Malaysia 2013.

Nasiruddin berkata perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin dan rayuan bakal dibuat selepas Zamri menamatkan cabaran pasukan dalam Kejohanan Jelajah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir Sabtu ini. 

Katanya, dia tidak mahu hal tersebut terus diperbesarkan bagi memberi ruang kepada pelumba itu fokus terhadap saingan berkenaan terlebih dahulu.

"Perkara ini dilakukan oleh semua (persatuan) sukan-sukan lain, sama sahaja. Kami tidak mahu memanjangkan perkara ini supaya mereka boleh memberikan fokus kepada kejohanan yang mereka sertai, dan juga fokus kepada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Zamri merupakan salah seorang atlet yang tersenarai untuk Sukan SEA 2017," katanya.

Zamri digantung berkuatkuasa kelmarin bagi tempoh tiga bulan selepas didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan media berhubung isu kelewatan pembayaran wang kemenangan meskipun sudah diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan. 

Jawatankuasa Disiplin PKBM mengadakan sesi pendengaran kes pelumba itu pada 11 Oktober lalu. 

Berikutan keputusan itu, Zamri juga tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam mana-mana perlumbaan di dalam atau di luar negara. 

Zamri, bagaimanapun, mendapat pelepasan untuk menyertai kejohanan Tour of Sharjah kerana masih lagi berada dalam tempoh rayuan selama 14 hari yang bermula Sabtu lalu.

"Kami telah mendapat lampu hijau daripada pihak persekutuan yang membenarkan dia menghabiskan pelumbaan tersebut kerana tempoh rayuan ada 14 hari. Jadi, dalam tempoh rayuan tersebut, penggantungan masih belum berkuat kuasa."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen