Kes doping Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 menjejaskan peluang atlet angkat berat negara untuk menyertai Sukan SEA Filipina, tahun depan tatkala ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata nasib mereka akan diputuskan bulan depan.

Reputasi sukan angkat berat semakin buruk apabila tiga atlet mereka dikesan positif bahan terlarang ketika saingan Sukma Perak.

Situasi itu pasti memberi kesan terhadap peluang skuad angkat berat untuk kekal dalam program pelapis dan elit kebangsaan di bawah kendalian MSN menjelang Sukan SEA Filipina, tahun depan.

MSN akan mengadakan mesyuarat lembaga pengurus, sekitar bulan depan.

"Syarat yang telah kami berikan kepada mereka sewaktu bersetuju untuk dipertandingkan dalam Sukma adalah tidak ada lagi kes melibatkan angkat berat. Kami sendiri bekerjasama dengan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam setiap usaha tetapi malangnya ada atlet tertentu yang masih gagal memahami tujuan sebenar syarat itu diadakan.

"Jadi, tengok sahaja keputusan yang akan dilakukan nanti," kata Shapawi.

Setakat ini, sukan angkat berat sudah dikeluarkan daripada program sukan teras bersama-sama sepak takraw dan taekwondo.

Ketiga-tiga sukan itu mendapat pengecualian untuk dipertandingkan dalam Sukma Perak dengan jaminan tiada kes doping dicatatkan.

Sementara itu, susulan isu atlet judo tuan rumah yang gagal ujian doping ketika Sukma 2018 membuatkan Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Perak, Howard Lee Chuan How, menegaskan tiada unsur penyalahgunaan bahan terlarang.

Dia berkata atlet judo itu mengalami kecederaan agak serius di bahagian bahu ketika menjalani latihan Sukma dan antara rawatan yang diterima adalah "Intra-Articular Injection joint" menggunakan suntikan Triamcinolone.

"Walaupun ia merupakan bahan larangan kepada atlet yang bertanding, namun menurut WADA Prohibited List 2018, suntikan Triamcinolone di kawasan sendi (intra-articular) adalah dibenarkan sama ada atlet berada dalam keadaan 'in competition' atau 'out of competition'," ujar Howard.

Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk memantau isu tersebut dan setakat ini, laporan media tentang penyalahgunaan bahan larangan oleh atlet Judo Perak adalah tidak benar.

Kerajaan negeri Perak akan berusaha untuk mempertahankan hak atlet wakil negeri Perak serta menegakkan keadilan bagi pihak atlet yang terlibat.

Proses mengambil ubat adalah mengikut prosedur dan tidak berlaku unsur penyalahgunaan.