Kerja bagi menaiktaraf kompleks sukan di seluruh Sabah adalah tertakluk kepada keperluan dan peruntukan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata, kementeriannya menerusi agenli pelaksana Lembaga Sukan Sabah mempunyai perancangan baru setiap tahun untuk menaiktaraf kemudahan sukan sedia ada di Kompleks Sukan Kota Kinabalu dan Kompleks Sukan Penampang.

"Bagaimanapun, pelaksanaan kerja-kerja naikataraf ini adalah tertakluk kepada keperluan mendesak kompleks sukan seluruh Sabah dan peruntukan yang tersedia setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Likas, Tan Lee Fatt pada Persidangan DUN Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.

Lee Fatt bertanya adakah kementerian mempunyai rancangan dan peruntukan untuk menaiktaraf kompleks sukan, padang bola sepak, gelanggang bola keranjang dan sebagainya di sekitar Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang serta Putatan.

Phoong berkata, kementeriannya juga menjalankan program naiktaraf padang luar bandar yang dilaksanakan setiap tahun mengikut daerah di seluruh negeri Sabah yang telah dikenalpasti untuk kemudahan riadah dan latihan masyarakat setempat.