Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal, menafikan dirinya mengalami kecederaan lutut sehingga menyebabkannya tewas di tangan Roger Federer dalam final Shanghai Masters, semalam.

Untuk pertama kali, perlawanan pada hujung minggu lalu itu menyaksikan pemain nombor satu dunia itu menggunakan balutan pada lutut kanannya, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai keadaannya.

Bagaimanapun, Nadal pantas menafikan spekulasi itu.

"Saya tidak mahu bercakap mengenainya sekarang. Maaf, ini bukan waktu yang sesuai.

"Walaupun tewas 6-4, 6-3, saya tetap tidak risau," katanya.

Dengan aksi pusingan akhir Jelajah Dunia bakal berlangsung di London pada bulan depan, Nadal masih belum pasti sama ada akan beraksi atau tidak.

"Saya tidak tahu sama ada akan beraksi di Basel atau Paris. Saya perlu memikirkannya terlebih dahulu dan tidak boleh memberitahu anda tentang jadual."

Semalam, Nadal tewas di tangan Federer selepas setiap servisnya mudah dipatahkan oleh bintang dari Switzerland itu.

"Ia satu perlawanan yang sukar buat saya kerana Federer bermain sangat baik dan pantas.

"Saya tidak pasti sama ada dia melakukan banyak kesilapan tetapi yang jelas, dia terlalu bagus. Itu pandangan saya. Jadi, tahniah buat Federer," tambah Nadal.