Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tetap akan mengerahkan kudrat untuk mencapai misi Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun kini menerima presiden baru.

Penularan wabak Covid-19 jelas merencatkan perancangan badan induk itu menjelang pemburuan slot Tokyo 2020 yang berakhir Jun depan.

Namun, NAAM tetap menjadikan misi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik sebagai misi utama walaupun kini di bawah pimpinan baru yang diketuai Datuk Abdul Hamid Hasan selepas Mesyuarat Agong Tahunan Ke-44, semalam.

"Tumpuan kami tahun ini adalah kepada atlet yang layak ke Olimpik iaitu Khairul Anuar Mohamad. Untuk paralimpik, ada dua wakil telah layak. Untuk Olimpik, kami kini fokus untuk acara berpasukan," kata Abdul Hamid.

Beliau juga optimis gabungan wakil berpengalaman dan muka baru dalam persatuan mampu menerajui badan induk itu ke peringkat yang lebih tinggi.

"Banyak perubahan dibuat, membawa masuk nama baru tetapi kami cuba seimbangkan di antara golongan muda dan yang lama. Diharapkan kerja-kerja pembangunan selepas ini lebih mudah."