Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan tumpuan sepenuhnya buat pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, untuk meraih kilauan pingat Sukan Olimpik dalam penampilan ketiganya di Tokyo 2020.

Itu jaminan Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan, bagi memastikan Khairul Anuar mampu menggalas cabaran di Tokyo pada Julai ini dengan meletakkan sasaran sebarang warna pingat.

Korea bakal menjadi destinasi pemanah berusia 28 tahun itu menjalani latihan bermula Mac sehingga Jun nanti memandangkan kelab di sana pernah melahirkan juara dunia yang pernah meraih emas dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing, selain keserasian atlet memanah negara menjalani latihan di negara tersebut.

"Kami hanya memberikan tumpuan kepada Khairul Anuar yang sudah layak ke Sukan Olimpik.

"Kami akan memastikan beberapa kejohanan di luar negara bakal disertai atlet tersebut dan memberikan tumpuan kepada atlet yang layak ke Sukan Olimpik sahaja," kata Hamid.

Kejohanan Asia yang berlangsung bulan depan di Bangkok, Thailand bakal menjadi kejohanan sulung buat skuad memanah negara musim ini.

Sementara itu, Hamid turut mengharapkan skuad berpasukan memanah negara mampu mencipta kejutan mengikut jejak langkah Khairul Anuar ke Tokyo menerusi Kejohanan Dunia di Berlin pada Jun ini.

"Kejohanan Dunia di Berlin akan menjadi platfom buat atlet negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam acara berpasukan."