Peminat sukan di Malaysia sudah semestinya mahu mengkaji dan melihat kembali sejarah, pencapaian serta koleksi memorabilia yang berkait rapat dengan sukan tempatan.

Singapura adalah antara negara yang sudah pun mempunyai muzium sukan mereka sendiri yang bertempat di hab sukan negara berkenaan.

Bagi bekas kapten skuad hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi, inisiatif perlu diwujudkan oleh pihak berwajib bagi memastikan perkara itu menjadi realiti selain memastikan kriteria tertentu dapat ditetapkan.

“Mungkin Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh menjadi peneraju dan persatuan-persatuan sukan juga harus diletakkan dalam jawatankuasa khas kerana yang paling penting adalah apabila kita mempunyai muzium sukan, kriteria-kriteria apa yang perlu ada di dalamnya menjadi perkara paling penting,” katanya.

Pandangan berbeza diberikan oleh Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Beliau berasakan kerjasama dengan Muzium Negara lebih baik dalam membantu merealisasikan sebuah muzium sukan negara sambil menjelaskan pihak MOM telah mempunyai muziumnya sendiri di mana ia menempatkan segala barangan yang berkaitan dengan empat temasya utama yang disertai kontinjen negara, iaitu Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan juga Sukan SEA.

“Saya rasa ia idea yang bagus. Bagus sekiranya Muzium Negara mempunyai bahagian untuk sukan kerana mereka lebih professional. Harus diingat, untuk membayar golongan profesional untuk muzium, ia menggunakan banyak wang,” ujar Kok Chi.

Majlis Sukan Negara (MSN) akan turut mempunyai galeri tersendiri bagi memahat kejayaan kontinjen negara bagi tatapan umum.

Namun, ia lebih menjurus kepada penyertaan dalam beberapa temasya yang terdekat, antaranya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Persiapan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

“Memang MSN telah cuba untuk mengadakan satu galeri di tingkat bawah dan semua memorabilia akan ditempatkan di situ. Peminat-peminat sukan boleh menyaksikan sejarah penyertaan dan kejayaan negara di situ,” ujarnya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini mengumumkan bahawa peminat sukan tempatan mungkin dapat melihat koleksi penting sukan negara sedikit masa lagi kerana fasa kedua kerja menaik taraf Bandar Sukan Kuala Lumpur akan turut menempatkan sebuah muzium sukan untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Perkara itu disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman.

“Kita masih lagi mengenal pasti konsep yang ingin dilakukan pada muzium ini. Kita tidak mahu ia menjadi sekadar muzium biasa dan semestinya perlu mengikut peredaran masa.

“Sistem audio dan visual perlu digunakan untuk mendapatkan penyampaian yang lebih kreatif,” tambah Azman.