Kemampuan jurulatih tempatan mampu ditingkatkan seandainya mereka menerima pendedahan serta bantuan yang dapat menambahkan lagi kualiti kejurulatihan.

Begitupun, ada beberapa jenis sukan mengambil jalan untuk menggunakan tenaga dari luar negara berdasarkan kepakaran yang dimiliki individu berkenaan.

Tidak dinafikan khidmat jurulatih tempatan lebih menjadi pilihan jika beberapa faktor seperti komunikasi serta pendekatan cara kerja diambil kira.

Namun, selaras dengan peredaran masa, jurulatih tempatan perlu sentiasa melakukan keputusan yang lebih tepat demi masa depan karier mereka sendiri.

Itu antara pandangan yang disuarakan jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, yang berasakan jurulatih tempatan masih memerlukan bantuan, khususnya dari segi pengetahuan asas dalam melatih atlet.

“Setiap orang perlu bermula dari bawah, jadi bagi jurulatih tempatan yang mahu mempertingkatkan kualiti mereka, ia merupakan tugas kami untuk membantu.

"Selain itu, kami juga akan mengorak langkah mereka untuk menjadi lebih baik dan usaha ini akan berterusan dalam jangka masa panjang, tidak kira dalam apa jenis sukan,” kata Beasley.

Dalam pada itu, jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jeganathan, berasakan barisan jurulatih tempatan perlu mengambil sikap lebih terbuka dalam mempelajari ilmu kejurulatihan.

Jelasnya, jurulatih tempatan juga mempunyai kemampuan tersendiri untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya boleh bertanding dengan jurulatih antarabangsa, saya menerima tawaran dari luar negara.

"Saya berharap jurulatih tempatan boleh bangkit dan belajar untuk mencapai satu tahap yang lebih baik. Perkara yang penting adalah jangan segan dan jangan malu. Kami boleh berkongsi ilmu untuk membina barisan kejurulatihan Malaysia yang bertaraf dunia."

Beasley dan Jeganathan ditemui ketika persidangan kejurulatihan kebangsaan di The Mines pada Isnin.