"Saya mahu sambung pelajaran." Itu pendirian penerjun negara, Leong Mun Yee, selepas mengambil masa selama 10 tahun untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Justeru, Mun Yee merupakan atlet negara paling lama menuntut di UPM berikutan komitmennya terhadap jadual latihan dan kejohanan di peringkat antarabangsa.

Penerjun kelahiran Perak itu diberi penghormatan untuk berucap dalam Majlis Konvosyen yang turut dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Canselor UPM.

"Saya bersyukur dengan peluang dan keupayaan saya untuk melengkapkan pengajian ini.

"Ia juga sebenarnya lahir daripada semangat kuat yang saya terjemahkan, sepertimana kesungguhan saya dalam bidang sukan," katanya yang masih segar dengan kejayaan merangkul pingat emas acara 10 meter platform terjun seirama Grand Prix Terjun (GP) Kuala Lumpur, minggu lalu.

Sehubungan itu, Mun Yee merancang menyambung pengajian peringkat sarjana selepas Sukan Asia Indonesia 2018 berakhir.

"Saya juga bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana tetapi kami akan menghadapi Sukan Asia yang juga sangat penting.

"Buat masa ini, saya akan memberi fokus terhadapnya dan dalam masa yang sama, saya akan memikirkan mengenai pengajian," tambahnya.

Mun Yee akan menyertai GP Terjun Gold Coast, Australia, bermula Khamis depan.