Mun Yee sedia pertimbang pujukan MAS

Oleh Muzaffar Musa 24 Mac 2021 2255
Mun Yee sedia pertimbang pujukan MAS
Pemenang 17 pingat emas Sukan SEA, Leong Mun Yee, bersedia untuk mempertimbangkan pujukan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk menundakan persaraannya sehingga tahun depan.

Ia susulan badan induk itu masih mendambakan khidmatnya untuk beraksi dalam Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

Mun Yee pernah menyuarakan hasratnya untuk mengundurkan diri daripada arena terjun sejurus tamat Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Selepas dua dekad menabur bakti bersama skuad kebangsaan, khidmatnya masih ditagih MAS untuk memburu pingat emas di Hanoi.

Penerjun kelahiran Perak berusia 36 tahun itu melakukan penampilan sulung dalam temasya dwitahunan berkenaan dalam edisi 1997 di Jakarta dan penyertaan di Hanoi akan menjadi penampilan yang ke-14 dan terakhir dalam kariernya.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Mun Yee berkata: "Sebenarnya (Presiden MAS) Mae Chen belum memaklumkan kepada saya secara peribadi tetapi sekiranya negara memerlukan saya, sudah pasti saya akan meneruskannya sekurang-kurangnya untuk tahun ini.

"Saya fikir, kali ini mereka akan menggabungkan penerjun senior dan remaja untuk Sukan SEA dan sekiranya mereka mahukan saya bertanding, saya boleh meneruskannya untuk beberapa bulan," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen