Penerjun negara yang akan kembali membuat penampilan di pentas Olimpik selepas lebih lapan tahun, Leong Mun Yee, merancang persaraan selepas tamatnya Sukan SEA Vietnam, tahun depan untuk memberi tumpuan terhadap perancangan membuka akademi terjun di Malaysia.

Mun Yee kini sudah 25 tahun mewakili negara dan dalam tempoh itu, dia sudah menyertai pelbagai kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Grand Prix FINA dan Siri Piala Dunia.

Namun, setiap permulaan pasti ada penghujungnya dan dia bakal mencatat rekod atlet kebangsaan paling banyak menyertai Olimpik iaitu lima kali jika beraksi di Tokyo, tahun depan.

Dia layak dalam edisi kali ini menerusi acara 10 meter platform terjun seirama.

"Sukan Olimpik sudah ditangguhkan ke tahun depan, kemudian Sukan SEA, jadi alang-alang, saya teruskan. Sukan Olimpik tetap sasaran utama. Selepas ini, waktu untuk atlet muda," katanya.

"Perancangan tahun depan, saya mahu tamatkan pembelajaran terlebih dahulu dan mahu memulakan akademi sendiri. Tidak ramai yang dapat belajar sukan terjun."