Tiga penerjun negara diketuai jaguh senior, Leong Mun Yee, terlepas peluang menyertai saingan pemanas badan Sukan Olimpik Tokyo apabila siri dunia yang sepatutnya bermula di China, hujung bulan ini ditunda.

Ia meletakkan tekanan kepada Mun Yee untuk menilai peluang mencabar pingat Olimpik memandangkan saingan itu bertaraf lima bintang.

Sebanyak empat siri dunia sepatutnya diadakan sebelum April.

Ia kejohanan kedua tertinggi dalam kalendar Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) di mana hanya lapan penerjun kategori individu dan enam pasangan terjun seirama terbaik dunia layak beraksi.

Namun semua siri dunia ditunda ke September depan sekali gus meletakkan penerjun negara hanya mempunyai satu kejohanan sebelum Olimpik Tokyo iaitu Piala Dunia di Tokyo yang menawarkan tiket terakhir ke Olimpik.

"Saya berasakan saingan Siri sangat sengit kerana barisan penerjun utama dunia berpeluang untuk meraih pingat," kata Mun Yee.

"Namun masih lagi terdapat saingan Piala Dunia pada bulan April sebagai saingan pemanas badan untuk menghadapi Sukan Olimpik nanti."

Mun Yee bergandingan bersama Pandelela Rinong ketika meraih perak Kejohanan Dunia 2019.

Penerjun berusia 37 tahun itu bakal buat penampilan kelima saingan Olimpik, yang terbanyak dalam sejarah sukan negara.