Muhammad Din, Nur Aishah raja, ratu pecut SAGA 2017

Oleh  Willie Jude 12 Disember 2017 1301
Muhammad Din, Nur Aishah raja, ratu pecut SAGA 2017
Muhammad Din Norbik dan Nur Aishah Rofina Aling muncul raja dan ratu pecut Sukan Sabah (SAGA) 2017 selepas masing-masing memenangi acara larian 100m di Kompleks Sukan Sandakan, petang tadi.

Muhammad Din yang mewakili kontinjen Kota Belud mencatat masa 10.89s untuk meraih emas manakala Mohd Noor Musyaaraf Mohd Sari dari Sandakan memenangi perak (10.98s) dan Rey Dern dari Tuaran gangsa (11.23s).

Walaupun 10.89s adalah catatan masa terbaiknya, pelajar tingkatan empat yang berasal dari Kudat itu sedikit kecewa kerana gagal mencapai sasaran 10.7s.

Catatan masa Muhammad Din itu juga hanya kurang 0.9s di belakang pemegang rekod 100m SAGA, Hikaru MilesVincent, yang mencatat 10.80 pada 2013.

"Permulaan saya agak perlahan, saya terpaksa mengejar dari belakang untuk memenangi perlumbaan ini.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat menyumbang emas kepada kontinjen Kota Belud dan saya bertekad akan meneruskan latihan bagi mencapai sasaran mewakili Sabah ke Sukan Malaysia," katanya yang juga pemegang rekod 200m Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 15 tahun.

Sementara itu, pelari tuan rumah, Nur Aishah, dinobat sebagai ratu pecut SAGA 2017 selepas memenangi acara sama kategori wanita dengan catatan masa 12.56s.

Pingat perak pula dimenangi pelari Tuaran dengan catatan masa 13.01s manakala Miana Masinta Mosusah dari Tawau yang mencatat 13.24s memenangi pingat gangsa.

Keputusan olahraga lain :

Lontar peluru lelaki
Emas : Brynoth Alarick Larry (Kota Kinabalu)
Perak : Mirach Han (Tawau)
Gangsa : Ivern Lee (Tuaran)

Lompat kijang wanita
Emas : Liz Steffenie Mawos (Keningau)
Perak : Nur Syuhadah Junaidi (Sipitang)
Gangsa : Aurella Ethel Clauddius (Tuaran)

Lempar cakera wanita
Emas : Siti Aishah Afriana Asmat (Papar)
Perak : Niery Asyira Jaibi (Ranau)
Gangsa : Azyyatie Junnadzhar (Lahad Datu)

400m lari berpagar lelaki
Emas : Nadhir Nail Sarjo (Ranau)
Perak : Rydicksie Jaiwol (Kota Marudu)
Gangsa : Mohd Azmir Abdul Rahman (Lahad Datu)

400m lari berpagar wanita
Emas : Haniza Mathon (Pitas)
Perak : Dayang Suhana Jaicob (Ranau)
Gangsa : Iren Serernus (Ranau)

Kredit foto: Saiful Rahman Sabri (Jabatan Penerangan Sabah)

Tentang Penulis

 Willie Jude

Komen