Gara-gara gagal mempamerkan aksi terbaik dalam sesi pemilihan, impian pemain boling tenpin negara, Ahmad Muaz Fisol, untuk membuat penampilan hatrik dalam Kejohanan Boling Tenpin Dunia di Hong Hong, 23 November depan lebur.

Pemilihan yang dijalankan pada Jumaat lalu menyaksikan Muaz gagal menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik untuk mewakili negara ke Kejohanan Dunia.

Dia hanya menamatkan cabaran di tangga kelapan daripada 12 peserta yang terlibat dalam sesi itu.

Ini bermakna Muaz terlepas untuk membuat penampilan ketiga berturut-turut selepas terpilih pada 2014 di Abu Dhabi dan seterusnya 2017 di Las Vegas.

"Sudah tiga minggu kami mengharungi sesi pemilihan dan saya memerlukan kemenangan pada hari terakhir pemilihan Jumaat lalu.

"Walaupun berdepan tekanan, itu tidak boleh dijadikan alasan kerana terdapat beberapa kesilapan yang saya lakukan sepanjang sesi ini, saya terima keputusan ini," katanya.

Perkara ini juga secara tidak langsung mengesahkan penyertaan Malaysia dalam Kejohanan Dunia yang sebelum ini berdepan kemungkinan tidak menghantar wakil kerana kekurangan dana.

Dalam edisi kali ini, skuad lelaki akan dibarisi skuad Sukan Asia 2018 yang diketuai Alex Liew, Rafiq Ismail, Adrian Ang, Timmy Tan dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

"Walaupun sedih terlepas Kejohanan Dunia sedangkan saya sudah cuba berikan yang terbaik, saya perlu menjadikan kegagalan ini sebagai pengajaran untuk saya berusaha lebih gigih," katanya.