Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak mahu terburu-buru dan kemungkinan tidak menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini susulan kebimbangan terhadap penularan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata skuad boling negara mematuhi sebarang keputusan yang dibuat dan tumpuan kini adalah kepada persediaan ke Kejohanan Asia di Hong Kong, tahun depan, yang menjadi kejohanan antabangsa pertama buat skuad negara.

Chok menegaskan kesihatan dan keselamatan atlet boling negara adalah menjadi keutamaan.

“Terdapat beberapa kejohanan dalam kalendar, contohnya Terbuka Sarawak dan Terbuka Thailand, tapi kami tidak mahu terburu-buru. Kami bukan sekadar hendak bertanding, kami perlu pastikan atlet negara selamat untuk bertanding.

“Melihat keadaan di seluruh dunia, wabak ini masih belum selesai. Pada masa ini, Kejohanan Asia adalah keutamaan kami, jika kami mesti melupakan semuanya untuk itu, kami akan lakukannya,” katanya kepada Bernama ketika sesi latihan skuad negara di Sunway Megalane hari ini.

Kejohanan Asia ke-26 dijadual berlangsung pada 4 hingga 14 Julai ditangguhkan ke 15 hingga 25 Januari tahun depan, susulan COVID-19.

Tanpa penyertaan di beberapa kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini, Chok yakin prestasi dan permainan atlet boling negara tidak terjejas kerana diadakan perlawanan ujian secara bulanan untuk memastikan pemain negara berada pada tahap terbaik apabila menyertai kejohanan pada masa depan.

“Jika kami ada kejohanan kebangsaan (belum ditentukan) ia sesuatu yang baik, sekurang-kurangnya kami dapat menilai prestasi pemain, tapi saya yakin pemain akan bersedia apabila tiba masa,” katanya.

Mengulas mengenai acara tenpin boling tidak disenaraikan pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Chok berkata mereka sudah menjangkakan keputusan berkenaan kerana sukan itu tidak popular di negara tuan rumah.

“Semestinya kami mengharapkan boling disenaraikan, sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk kami dan sesuatu yang istimewa untuk mewakili negara dalam temasya sukan. Kami sudah tidak tersenarai di Sukan Komanwel, kami juga tiada di Sukan Olimpik, kami terhad pada kejohanan tertentu sahaja,” katanya.

Malaysia membuat rayuan bagi 11 daripada 22 sukan untuk disenaraikan di Vietnam termasuk tenpin boling.

Sukan SEA Vietnam dijadual berlangsung pada 21 November hingga 2 Disember, tahun depan.

-- BERNAMA