Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr P.S. Nathan, berharap enam atlet yang dipilih tidak mensia-siakan peluang untuk menghadirkan sesuatu buat Malaysia dalam Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia selepas peruntukan ke Hong Kong akhirnya diluluskan.

Skuad negara sebelum ini gusar andai penyertaan mereka dalam Kejohanan Dunia dibatalkan apabila masih belum menerima peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kini, mereka mampu menarik nafas lega apabila kos sebanyak RM150,000 akhirnya diluluskan semalam.

Justeru, Nathan mahu barisan atlet menggunakan peluang ini sebaik mungkin selepas pelbagai usaha dilakukan MTBC untuk mendapatkan peruntukan berkenaan.

Bukan itu sahaja, dua atlet, iaitu Alex Liew dan Sin Li Jane, turut dihantar ke Piala Dunia AMF 2018. Kedua-duanya pada awalnya sanggup mengeluarkan kos perbelanjaan sendiri ke Las Vegas.

"Saya telah memberitahu mereka jika mahu menyertai Kejohanan Dunia pada tahun akan datang, pingat emas harus dibawa pulang. Cuba bermain dengan bijak dan berusaha untuk melakukan balingan terbaik," kata Nathan.

Nathan tidak menolak pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Rafiq Ismail, antara yang mampu melakar kejutan dalam Kejohanan Dunia dengan podium tetap menjadi keutamaan MTBC buat pasukan lelaki di Hong Kong.

"Rafiq beraksi dengan cemerlang dan memiliki peluang untuk mencipta kejutan. Trio dan lima berpasukan turut memiliki kemampuan untuk menghasilkan keputusan yang positif," tambahnya.