Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong mungkin terpaksa dilupakan skuad negara selepas Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr P. S. Nathan, mengesahkan masih belum menerima sebarang peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kos perbelanjaan ke Hong Kong sekitar RM140,000 masih belum diterima tatkala pemilihan secara merit sedang berlangsung dalam perebutan enam tiket ke Kejohanan Dunia yang bakal bermula 23 November depan.

Jelas Nathan, KBS ketika ini masih belum memberi sebarang kata putus berhubung peruntukan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan apakah skuad negara tetap akan dihantar ke Kejohanan Dunia atau sebaliknya.

"Sehingga hari ini, kami masih belum menerima perbelanjaan daripada KBS. Saya berpendapat atlet negara bakal dihantar dan setiap kali Malaysia beraksi, mereka membawa pulang pingat," kata Nathan.

Nathan berharap masalah kewangan ini dapat diselesaikan segera bagi memastikan persiapan atlet yang bakal dipilih beraksi di Hong Kong tidak terjejas.

Apa yang pasti, MTBC sendiri akan cuba turut berusaha mencari jalan penyelesaian bagi memastikan misi ke Kejohanan Dunia tetap dilaksanakan.

"Dalam tempoh seminggu, skuad negara sedang menjalankan pemilihan enam atlet terbaik untuk dibawa ke Hong Kong."