Jurulatih boling tenpin negara, Ben Heng, percaya Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menghadapi kemelut kewangan yang dialami untuk menghantar pasukan ke Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia di Hong Kong, bulan depan.

Presiden MTBC, Datuk Dr P.S. Nathan sebelum ini mengesahkan mereka masih belum menerima kata putus daripada Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai peruntukan sekitar RM140,000 yang diperlukan ke Kejohanan Dunia.

Ben, bagaimanapun, tetap positif MTBC tidak akan lepas tangan dalam memastikan misi mereka ke Hong Kong tetap tercapai tatkala pemilihan secara merit sedang berlangsung ketika ini.

Malah, situasi sedemikian tidak mematahkan semangat skuad negara untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin walaupun status ke Kejohanan Dunia masih lagi samar.

"Malaysia tidak pernah gagal beraksi dalam kejohanan ini. Saya berasakan MTBC akan memberikan sokongan dalam memastikan atlet bersaing di Hong Kong," kata Ben.

Timmy Tan dan Ahmad Muaz Mohd Fishol adalah antara yang masih bergelut untuk merebut lima lagi slot ke Kejohanan Dunia dengan tentangan sengit kian terasa dalam kalangan atlet muda lain.

"Kami perlu memberikan yang terbaik kerana sukan boling sangat sengit," kata Timmy.

"Saya perlu memastikan kemenangan dalam setiap sesi kelayakan untuk memastikan berada dalam kelompok enam terbaik," kata Muaz.