Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) akan tetap berusaha mencari jalan bagi menghantar atlet ke Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia di Hong Kong bulan depan walaupun tanpa sokongan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Peruntukan daripada KBS masih menjadi tanda tanya yang kini menjadi penghalang kepada status skuad negara ke Kejohanan Dunia.

Faktor kewangan yang dialami turut memberikan kesan kepada penyertaan skuad negara ke Piala Dunia AMF di Las Vegas apabila hanya Sin Li Jane yang akan beraksi dengan menggunakan wang poket sendiri.

MTBC tidak menghalang andai ada yang sanggup mengeluarkan bajet sendiri ke Hong Kong tetapi sudah pasti itu adalah langkah yang tidak digalakkan kerana enggan meletakkan beban kepada atlet.

"Sama ada mereka mahu atau tidak menggunakan perbelanjaan sendiri, MTBC tidak menggalakkan jalan itu memandangkan Kejohanan Dunia adalah di bawah tanggungjawab kami untuk menyediakan pasukan.

"Perbelanjaannya cukup besar, jadi tidak adil untuk kami meletakkan bebanan tersebut kepada atlet," kata Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok.

Maradona yang juga merupakan pengurus pasukan lelaki mahu atlet meneruskan persiapan tatkala segala usaha sedang dilakukan, termasuk mencari penaja yang sanggup membantu untuk kos sehingga RM150,000.

"MTBC juga tidak akan berdiam diri. Kami sedang giat mencari penaja dan jalan lain untuk menghantar atlet ke Kejohanan Dunia," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih boling tenpin lelaki negara, Ben Heng mahu atlet berfikir sebaik mungkin sebelum mengambil keputusan untuk mengeluarkan peruntukan sendiri bagi menyertai Kejohanan Dunia yang pastinya memerlukan kos tinggi.

Apa yang penting, mereka harus bersedia dengan segala kemungkinan dan meneruskan persiapan tanpa sebarang tekanan walaupun masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada MTBC untuk menghantar pasukan ke Hong Kong.

"Itu terpulang kepada mereka memandangkan bukan semua atlet mampu untuk mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.

"Mereka boleh melakukannya jika mahu, namun ia bukanlah perkara yang bagus," katanya.

Atlet senior, Alex Liew, tetap percaya dengan usaha MTBC dalam memastikan misi mereka ke Kejohanan Dunia tercapai walaupun tanpa menunggu peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Sebenarnya, kami pernah mengeluarkan perbelanjaan sendiri dalam kejohanan lain sebelum ini.

"Ia sebenarnya perkara normal, namun untuk kali ini, ia terpulang kepada persatuan untuk membuat keputusan," kata Alex.