Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, yang melengkapkan musim gemilangnya menjuarai semua kejohanan musim ini dengan menakluki Terbuka China, akur tidak tercalon dalam Anugerah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Sabtu ini.

Syarul Mahen merupakan antara atlet yang menyinar pada 2017. Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mempertahankan gelaran Mr Universe, Mr Asia dan terbaru, Terbuka China, dalam kategori klasik, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Terbukti, Syarul Mahen kini merampas gelaran jaguh utama negara tatkala legenda, Sazali Samad, masih digantung ekoran kes doping.

"Saya dilayan dengan baik dalam Terbuka China. Secara automatiknya, saya dianggap peserta yang perlu dikalahkan jika mereka ingin menjadi juara.

"Untuk itu, saya perlu lebih ke hadapan dan mengekalkan prestasi," katanya.

Cuma apa yang mengecewakan, Syarul Mahen tidak tersenarai dalam sebarang anugerah sejak tahun lalu.

"Berdasarkan pencapaian, saya layak.

"Mungkin mereka tidak perasan atau tidak tahu ada atlet kelahiran Kuala Lumpur yang pernah memenangi Kejohanan Dunia," ujarnya.

Sazali muncul satu-satunya atlet bina badan yang dinobatkan Olahragawan Kebangsaan dengan kali terakhir melakukannya pada 2014.

Sementara itu, MSWP mempertahankan tindakan tidak mencalonkan Syarul Mahen dalam majlis anugerah tersebut.

"Kebiasaannya anugerah ini akan mencalonkan atlet-atlet yang berjaya di peringkat negeri.

"Sekiranya ada atlet kelahiran Kuala Lumpur yang menyumbangkan kejayaan di peringkat kebangsaan, selalunya kami akan memberikan anugerah khas," kata Pengarah MSWP, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.