Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor sedang giat merangka semula program latihan buat kontinjen masing-masing bagi merebut kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) Johor biarpun ketika ini masih ada sukan yang belum dibenarkan berlatih.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu, kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor masih memantau latihan barisan atlet secara dalam talian.

Barisan kejurulatihan kedua-dua kontinjen juga sedang merangka program latihan selain MSWP dan MSNS masih membuat perbincangan bersama badan berwajib untuk kelulusan sesi latihan.

Bagaimanapun, penundaan Sukma Johor kepada Mac 2021 tidak menjejaskan perancangan dua negeri itu kerana menganggap masih ada lagi masa untuk membuat persiapan rapi.

"Persiapan tiada yang terjejas tetapi kami perlu akur dengan pembukaan semula kemudahan sukan ketika ini dan perlu mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," kata Pengarah MSWP, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

"Kami sedang mengenal pasti pusat-pusat latihan yang perlu didaftarkan, kebanyakan mereka masih lagi berlatih di rumah dan di tempat awam yang telah dibenarkan. Kami sedang berusaha untuk berhubung dengan bekas-bekas atlet untuk dijadikan sebagai rakan sepelatih atlet yang berada dalam fasa persiapan menghadapi Sukma nanti," kata Timbalan Pengarah Pembangunan Sukan MSNS, Mohamad Nizam Marjugi.